Pages

Wednesday, July 9, 2014

RAMADHAN MENUJU SEMI FINAL

Ketika pagi ini membaca tulisan dan catatan rakan-rakan mengenai keputusan semi final Piala Dunia - Brazil tersungkur dan tersembam di kaki Jerman; hati terdetik tentang diri sendiri yang kini dalam gelanggang Ramadhan yang makin menghampiri semi final juga.

Apabila benar-benar masuk semi final nanti, adakah masih sedaya upaya berjuang dengan bermujadah 'mengatur strategi' demi kemenangan, atau hampir 'dikalahkan' dan 'tersembam'? (Mudahan dijauhkan).

Masanya melihat dan menilai kualiti pada apa yang telah dikerjakan dalam tempoh sepuluh hari pertama Ramadhan. Masanya untuk memperbaiki kualiti pengurusan masa antara kerja yang perlu terus dilaksanakan di pejabat, tugasan di rumah, dan dalam masa yang sama mampu mengambil waktu untuk melakukan apa yang perlu dilunaskan dalam target dan senarai semak Ramadhan.

Semoga saya dan kalian dihidayahkan untuk menuju fasa maghfirah-Nya, dan seterusnya dilepaskan daripada azab neraka.

Rabb, berikan kami kekuatan untuk menjulang piala kemenangan di hadapan Ar-Rayyan. 


(kredit gambar: http://www.islam.org.hk/)


Friday, July 4, 2014

PERMATA AL-QURAN DAN UMMAH: MUSA BIN HANAFI

Beberapa hari lepas, ramai kenalan berkongsi kisah seorang kanak-kanak yang berusia 5 tahun setengah (belum menginjaki usia 6 tahun) menyertai rancangan Hafiz Indonesia 2014 musim kedua (yang ditayangkan sempena Ramadhan di Indonesia); Musa (daripada Bangka, Indonesia) yang berjaya menghafal 29 juzuk Al-Quran.



Masya-Allah, amat mengkagumkan. Maha Suci Allah yang memudahkan ayat-ayat-Nya dipelajari manusia, hatta kanak-kanak sekecil itu; yang sering dipertikai kemampuannya. Bukan sedikit saya terdorong dan terinspirasi!



Ketika selesai menonton video yang dipautkan oleh teman-teman, saya terlalu ingin mengetahui kisah pendidikan dan latar keluarga Musa, mahu tahu siapa ibu bapanya dan bagaimana dia dilatih menghafal Al-Quran hingga berhasil demikian. Tuhan memang mendengar bisikan, lalu saya temui video temuramah Rodja TV dengan ayah Musa (Abu Hanafi) di Youtube sebaik selesai menonton video hafalan Quran Musa dalam rancangan Hafiz Indonesia 2014.

Bersama-sama beliau ialah anaknya, Musa, dan Ustaz Ali Subana. Sambil mendengar, saya turut mencatat butir perbincangan mereka dalam buku catatan. Selepas itu, saya kongsikan pula pautan video tersebut dengan teman-teman. Sayangnya, ada teman-teman yang tidak dapat menonton video tersebut memandangkan kepanjangannya mencecah 1 jam  30 minit dan keterhadan capaian internet di gajet. Justeru, saya bagai dipanggil untuk ‘menyalin’ semula rakaman video temuramah tersebut dalam bentuk tulisan di ujana ini. Sebagai salinan kedua saya sekiranya buku catatan hilang daripada simpanan dan untuk ingatan diri sendiri juga.

Saya kongsikan di sini dan mudahan bermanfaat kepada pengunjung. (Ada sesetengahnya diringkaskan dengan gaya bahasa saya sendiri). 

*****
  • Temuramah dimulakan dengan kata-kata pembuka oleh Ustaz Ali Subana yang membaca peringatan Allah dalam Surah At-Tahrim:6; “Wahai orang yang beriman! Peliharakanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, atasnya (penjaganya) para malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Sehubungan itu, ibu bapa bertanggungjawab penuh memberi pendidikan bagi menjauhkan diri dan anak-anak daripada neraka.)
  • Fitnah atau cabaran terbesar untuk ibu bapa dan ssistem pendidikan zaman sekarang ini ialah bejatnya akhlak. Sistem pendidikan gagal membangunkan akhlak.
  • Ibu bapa perlu perhatikan bentuk ‘kerosakan’ akhlak yang mengancam anak-anak; ancaman dari luar (rumah) dan ancaman dari dalam (rumah). Ancaman daripada luar mungkin sukar dikawal kerana suatu hari nanti anak-anak pasti akan ‘keluar’ daripada persekitaran rumah, jadi ibu bapa perlu kawal atau haling kerosakan yang bermula dari dalam rumah, iaitu dengan cara: i. Menghantar ke sekolah Islamik, ii. Menyediakan rancangan TV Islamik yang mendukung apa yang dipelajari di sekolah (peranan media/TV dalam rumah) dan iii. Ajak diri sendiri (ibu bapa) dan anak-anak ke majlis ilmu.
  • Temuramah dan perkongsian pengalaman diteruskan dengan ayah Musa, Abu Hanafi. Kata beliau, tiada yang mustahil untuk anak seusia Musa untuk menghafal Quran kerana ilmu adalah milik Allah. Justeru, Allah yang memberinya. Dekatkan diri dengan Allah dan ‘minta ilmu’ itu daripada pemiliknya.
  • Musa diperkenalkan dengan huruf hijaiyyah bermula usia 2 tahun. Huruf-huruf hijaiyyah ditampal pada tempat yang membolehkan Musa selalu melihatnya, contohnya: dapur, bilik tidur dll.
  • Ibu bapa yang perlu prihatin, peduli dan bersungguh terlebih dahulu, barulah anak-anak akan mengikut.
  • Jangan terlalu menjangkakan sesuatu yang tinggi atau cemerlang daripada kanak-kanak kecil, jangan impikan anak-anak terus lancar menyebut ayat atau makhraj huruf dengan sempurna. (Tidak mengapa jika disebut dengan pelat, asalkan mengenal).
  • Ajar menghafal dengan cara menghafal/memahirkan diri dengan sebahagian ayat dahulu sebelum dilengkapkan sebahagian ayat yang lain (beliau memaksudkan ‘kaedah chuncky’).
  • Ibu bapa yang perlu rajin tuntut ilmu atau hadir ke majlis ilmu. Dengan itu, ibu bapa akan beroleh ilmu untuk mendidik anak-anak pula.
  • Musa menghafal 2 juzuk Al-Quran semasa berusia 4 tahun, lalu semakin meningkat kepada 29 juzuk pada usia 5 tahun setengah. Abu Hanafi dan isterinya mengajar sendiri di rumah, tidak dihantar ke mana-mana sekolah atau pesantren.
  • Untuk melahirkan anak-anak penghafal Quran, ibu bapa sendiri perlu celik Al-Quran bagi membolehkan mereka mengajar anak-anak mereka. Tidak mengapa jika ibu bapa bukan penghafal Al-Quran, asalkan dapat membaca dan mengajar dengan baik; itu sudah memadai).
  • Ilmu perlukan modal. Maka, ibu bapa perlu ‘melaburkan’ modal untuk menyediakan keperluan pembelajaran anak-anak. Kerana kemahuan yang tinggi, Abu Hanafi menyediakan buku-buku dan alat bantu mengajar yang lain (seperti kaset, CD dan seumpamanya) untuk tujuan pembelajaran Al-Quran.
  • Musa turut diperkenalkan dengan qari-qari dan tokoh agama, didedahkan dengan ceramah-cemarah agama (hingga Musa dapat menyebut nama-nama ustaz yang dikenali/biasa didengar ceramah mereka). Abu Hanafi akan memuji-muji tokoh agama ini dihadapan Musa (contoh: “Syeikh ini banyak ilmunya, ustaz ini bagus.”) dan akan mengingatkan anaknya kepada apa-apa perbuatan buruk (contoh: “Ahli maksiat itu jelik, penyanyi itu tidak bagus.”).
  • Secara awalnya, Abu Hanafi mengajar Al-Quran kepada anaknya secara tidak langsung iaitu ketika anak itu bermain dan seumpamanya. Selepas itu, Musa diajar untuk konsisten dengan jadual yang Abu Hanafi buat sendiri sesuai dengan usia apabila dilihatnya Musa sudah boleh berdisiplin. Selaunya selepas subuh dan selepas maghrib (selepas pulang daripada masjid), Musa snediri akan mengambil Al-Qurannya dan duduk ditempat yang sudah dimaklumi, tidak akan bangun sekiranya Abu Hanafi tidak membenarkan dia berbuat demikian.
  • Selain itu, Musa akan bangun (bersama bapanya) pada pukul 3 pagi setiap hari untuk mengulangkaji hafalan yang lama dan akan memulakan hafalan ayat/surah baharu pada pukul 4 pagi. (Masya-Allah, saya sangat kagum dengan kekuatan dan kemahuan yang tinggi Abu Hanafi yang dapat bangun jam 3 pagi setiap hari dan mampu mendisiplinkan Musa untuk membuat perkarayang sama).
  • Ketika ditanya oleh seorang pemanggil, bagaimana caranya untuk melahirkan anak penghafal Al-Quran seperti Musa; Abu Hanafi menjawap: Cari pasangan solehah, fasiliti untuk pembelajaran harus ada, modal harus keluar kerana kita sebenarnya melabur untuk menjauhkan anak daripada neraka. Kelembutan dan ketegasan perlu berjalan serentak sebagaimana amar makruf dan nahi munkar berjalan seiring. Isteri perlu menyokong suami ketika suami mendidik atau ketika suami bertegas (jangan kasihankan anak jika itu untuk kebaikan) dan suami pula jangan goyah ketika isteri mula kasihankan anak. Sabar itu penting. Lihat karektor anak, kerana ada anak yang lembut sudah memadai jika dikerling atau dilarang. Berbeza dengan anak yang berkarektor sebaliknya.

    Pengalaman
    Abu Hanafi sendiri: Ada ketikanya Musa menangis dan merengek tidak mahu belajar (fitrah anak), tetapi beliau akan bertegas.
  • Mendengarkan jawapan Abu Hanafi, Ustaz Ali Subana langsung mengingatkan penonton kepada kata-kata Imam Shafi’e bahawa ilmu tidak akan diperolehi kecuali dengan 6 perkara, iaitu: i. Kecerdasan, ii. Semangat, iii. Kesungguhan, iv. Dirham (modal atau pelaburan), v. Mendampingi atau belajar dengan guru; vi. Memerlukan masa yang lama atau panjang.
  • Ustaz Ali Subana menyarankan agar ibu bapa memerhati dan mengambil berat soal pengambilan gizi atau pemakanan anak-anak. Beliau menganjurkan agar anak-anak diberi makan banyak ikan kerana itu membantu kecerdasan otak sebagaimana yang diamalkan oleh para ulamak.
  • Ustaz Ali Subana juga menyarankan supaya anak-anak mula dideahkan dengan penghafalan hadis sekiranya sudah mula lancar atau selesai menghafal Al-Quran. Mulakan dengan hafalan hadis yang mudah, hadis 40 dan lain-lain (kerana Imam Shafi’e mula hafal kitab Muwatta’ selepas beliau menghafal Al-Quran).
  • Abu Hanafi ditanya tentang kualiti hafalan Musa selepas ‘berehat panjang’ daripada menghafal atau mengulang hafalan, misalnya ketika sakit; Abu Hanafi menjawab beliau pernah berasa risau tetapi yakin dengan kata-kata ulamak – ‘Hafalan juga memerlukan istirehat’. Musa pernah sakit hampir seminggu dan berehat daripada mengulang hafalan, ternyata hafalan atau ingatan Musa terhadap apa yang dihafalnya bertambah mantap (tidak gagap atau ‘tersangkut-sangkut’.)  
  • Ketika Musa ditanya senang atau susah menghafal Al-Quran, Musa menjawab dengan optimis, “Mudah.” Ketika ditanya ‘senang’ (seronok) atau tidak menghafal Al-Quran, Musa menjawab, “Senang (seronok).”
  • Selain kaset ceramah tokoh agama, Musa diperdengarkan dan dipertontonkan dengan VCD bacaan Al-Quran secara murottal yang mempunyai visual dan tulisan Al-Quran. Secara tidak langsung, itu membantu hafalan Musa kerana Musa akan mengingat ayat apa yang dibaca ketika gambar/visual apa yang ditunjuk pada skrin TV.
  • Ustaz Ali Subana menambah, mengulang hafalan yang lama selepas menghafal ayat/surah baharu itu penting; seperti menanam dan menjaga pokok yang baharu, maka pokok yang ditanam sebelumnya perlukan penjagaan yang baik juga supaya tidak mati.
  • Ketika Abu Hanafi ditanya mengenai mainan anaknya (sesuai dengan fitrah kanak-kanak yang suka bermain), Anu Hanafi memaklumkan bahawa Musa kurang berminat untuk bermain jauh daripada rumah. Sekadar main pasir, basikal dan seumpamanya di sekitar halaman rumah. Hal ini kerana, Musa terlalu biasa dekat dengan ibu bapanya kerana kebanyakan masanya dihabiskan dengan Al-Quran. Musa juga dipantau dengan siapa dia berkawan, kawan-kawan yang bersikap tidak elok dihindarkan daripada Musa.
  • Abu Hanafi berpesan, usah bandingkan Musa dengan anak-anak yang lain (kerana kemampuan setiap kanak-kanak berbeza), tetapi apa yang penting ialah ibu bapa harus bersemangat dan bersungguh-sungguh. Apabila ibu bapa bersemangat dan bersungguh-sungguh, maka anak-anak juga akan terdorong secara langsung dan tidak langsung. Fitrah kanak-kanak memang suka bermain, tetapi ibu bapa yang perlu aktif mengatur jadual harian anak-anak. Musa juga diajar ilmu yang lain (bahasa Arab dan seumpamanya), dan ternyata anak ini cepat mempelajari ilmu yang dipelajarinya walaupun kebanyakan masa diperuntukkan untuk mempelajari/menghafal Al-Quran.
  • Ustaz Ali Subana pula menutup rancangan tersebut dengan peringatan bahawa ibu bapa pada zaman ini berdepan dengan pihak yang optimis untuk merosakkan generasi muda Islam. Maka, ibu bapa mesti jauh dan lebih optimis serta sedar bahawa generasi ini perlu dididik dengan baik (mengikut cara Islam) bagi menyelamatkan generasi muda daripada kerosakan, dan seterusnya melahirkan lebih ramai ulamak.
  • Sebelum rancangan tersebut ditamatkan, Ustaz Ali Subana sempat menguji Musa walaupun ditegaskan berkali-kali bahawa tidak mengapa jika Musa tidak mampu menjawap soalan tersebut kerana ‘nature’ soalan yang akan ditanyakan memang dikategorikan sebagai sukar untuk diajukan kepada kanak-kanak seusia Musa. dengan Soalan beliau ialah: “Dalam juz 30 (juz ‘Amma), ayat apakah yang mempunyai perkataan ‘Musa’?”

    Selepas berfikir, Musa membacakan ayat-ayat tersebut iaitu ayat ke-5 dalam surah An-Nazi’at dan ayat ke-19 (terakhir) dalam surah Al-‘Ala.

*****
Subhanallah, Masya-Allah. Moga Allah melindungi anak ini, ibu bapanya, serta anak-anak generasi Islam yang lain dan para ibu bapa yang berhasrat dan berusaha melahirkan anak seperti Musa. Kalian juga boleh menonton video tersebut di pautan ini atau mendengar atau memuat turun audio rakamannya di pautan ini.

Lalu, antara perkara yang boleh disimpulkan daripada temuramah tersebut ialah; 

1. Niat yang baik untuk mendidik anak-anak sangat penting. 
2. Doa dan keyakinan tidak berbelah bahagi kepada Allah. 
3. Kesungguhan dan pengorbanan (Abu Hanafi sanggup berhenti kerja dan menjalankan perniagaan bagi memastikan dirinya mempunyai masa yang banyak untuk melatih dan mendidik anaknya). 
4. Kerjasama pasangan dalam mendidik anak adalah penting. 
5. Berhikmah - berhikmah mendidik sesuai karektor anak, berhikmah menangani keinginan dan kemahuan anak. 

Semoga catatan ini bermanfaat untuk saya dan suami, serta kalian juga.



NAS, Jumaat, 6 Ramadhan 1435H

Wednesday, June 25, 2014

ANAKKU, NANTI BACAKAN 'AL-FATIHAH' UNTUK KAMI

Wahai Allah yang Maha Pemberi, teguhkan hati kami, iman kami dan prinsip kami dalam mendidik permata-permata hati kami. Ilhamkan kami dan ajari kami cara terbaik untuk mendidiknya agar tumbuh menjadi pembela agama-Mu.

video

Alhamdulillah, Anakanda Ahmad kini menginjak usia 2 tahun dan 2 bulan. Dalam telor dan pelat, dia bacakan Al-Fatihah (walaupun membuka Al-Quran secara rawak) ketika menunggu babanya berurusan di sebuah pasaraya.

"Sayang, setelah kami pergi dari dunia ini nanti; ringankan hati dan lidahmu untuk bacakan surah yang sama untuk kami."



Monday, June 16, 2014

NASI DAGANG KELANTAN - HIKMAH & IBRAH PENYEDIAAN MAKANAN

Kadang-kala hari minggu terasa istimewa buat kami (saya dan suami). Bukan hanya kerana kami punya masa untuk diluangkan bersama anak, tetapi juga kerana kami dapat 'meraikan' makan tengah hari kami dengan cara atau hidangan yang lebih istimewa (walaupun sederhana) berbanding hidangan ringkas pada hari bekerja.

Dua minggu lalu, saya dibantu suami dalam menyediakan Nasi Dagang Kelantan untuk hidangan makan tengah hari kami. Berbeza dengan Nasi Dagang Terengganu yang menggunakan beras pulut, Nasi Dagang Kelantan menggunakan beras khusus yang disebut 'beras lembut'. Selain itu, Nasi Dagang Kelantan juga dilengkapkan dengan sambal kelapa khusus.

Bagi Encik Suami, Nasi Dagang Kelantan tidak lengkap kecuali dipadankan dengan gulai udang. Manakala bagi saya, tidak sempurna hidangan Nasi Dagang Kelantan tanpa disekalikan dengan gulai ikan tongkol dan gulai ayam; sebagaimana yang selalu emak saya sediakan. Untuk meraikan selera En. Suami dan keinginan sendiri, lalu; saya putuskan untuk menyediakan gulai udang, gulai ikan tongkol dan gulai ayam untuk hidangan Nasi Dagang Kelantan kali ini. Juga, saya lengkapkan dengan telur rebus yang seringnya jadi antara lauk pelengkap Nasi Dagang Kelantan.
"Dalam sabar itulah berkat."

Bukan hanya sebiji kelapa yang perlu diperah santannya untuk menyediakan tiga jenis gulai tersebut, lebih-lebih lagi dalam keadaan kesihatan saya yang sedikit kurang memuaskan.  Beras lembut pula perlu direndam semalaman sebelum sedia untuk dikukus, diangkat dan dikeluarkan daripada periuk pengukus, digaul dengan santan dan bahan-bahan lain sebelum dikukus sekali lagi. Ikan tongkol perlu direbus dahulu dengan garam dan asam keping sebelum dimasukkan dalam gulai. Manakala sambal kelapa pula; kelapa perlu disangai terlebih dahulu sehingga perang kecoklatan sebelum digaul dengan ikan rebus yang ditumbuk beserta bawang merah, manisan dan bahan perasa yang lain.

Pun begitu, Alhamdulillah; kerja jadi mudah dengan bantuan suami walaupun bahan penyediaannya mungkin sedikit renyah. Hingga saya katakan pada suami; "Rupa-rupanya, bukan senang dan memang renyah kerja penyediaan makanan tradisi orang lama ya." 

Ya, saya cuba membayangkan bagaimana kerja masak-memasak para nenek dan ibu dahulu yang tidak dilengkapi dengan segala kemudahan elektrik, air dan gas memasak sebagaimana saya hari ini.
Lalu, duga suami; "Kerja rumit masak-memasak makanan tradisi ini sebenarnya mengajar kita sesuatu. Tahu apa pengajarannya?"

"Mengajar kita untuk sabar?" Saya jawab, dan saya juga bertanya.
Suami mengangguk, lalu katanya lagi; "Para ibu dan nenek dahulu menyediakan sendiri makanan di dapur. Mereka tidak membelinya atau makan di luar. Apabila mereka memasak sendiri setiap hari, maka mereka sebenarnya melatih diri untuk bersabar setiap hari. Lama-kelamaan, sifat sabar tertanam dengan sendiri. Cuba lihat, bagaimana rumah tangga orang dahulu dapat bertahan. Itulah berkat sabar yang mereka ada, tidak cepat melatah dengan sikap pasangan dan tidak mengalah dengan cabaran mendidik anak atau dugaan hidup. Dalam sabar itulah berkat."

Aduhai, saya telan liur. Indahnya hikmah penyediaan makanan tradisi.

Sambung suami lagi; "Kita sekarang terdidik dan terbiasa dengan perkara mudah, makanan segera yang senang diperolehi, makanan di kedai yang cepat dipesan dan dibeli. Itu semua langsung tidak mendidik kita untuk bersabar, apatah lagi untuk menjadikan sifat sabar itu sebati dalam diri. Sudahnya, apa akan jadi pada rumah tangga yang didiami dan dihidupkan oleh pasangan yang tidak biasa bersabar?"

Masya-Allah, besar maknanya ibrah penyediaan makanan tradisi yang saya perolehi hari itu. Mudah-mudahan, apa yang kami makan itu bukan hanya rezeki yang menambah rasa kasih sayang sesama kami, bahkan juga menambahkan sifat sabar (dan sifat baik yang lain) dalam diri kami. Mudahan.




Monday, May 26, 2014

JANGAN BERHENTI BERHARAP

"Sesiapa yang jatuh dalam sungai; janganlah berhenti berharap walaupun terpaksa berpegang pada ekor ular." 

 
Itu maksud serangkap syair Arab yang saya perolehi daripada lisan seorang pendidik. Masya-Allah, teliti sekali pengarangnya, jelas sekali penyampaiannya, cantik sekali maksudnya. 

Maka, dalam keadaan sesukar dan segenting mana sekalipun; jangan berhenti berharap. Jangan bosan berdoa dan 'berbincang' dengan Tuhan dan bertanyakan 'pendapat-Nya'. 

Teruskan merancang usaha! 




Friday, May 16, 2014

TENTANG KEMAHUAN

Terlalu banyak yang kita mahukan dalam kehidupan, dalam semua sisi kehidupan; sebetulnya. 

Adakalanya, kita perlu mengambil dahulu apa yang ada di hadapan mata dan mengetepikan apa yang sebetulnya yang kita mahukan. Adakalanya, kita perlu berlapang dada dan terbuka dengan apa yang terlebih dahulu diberi oleh Tuhan sebelum kita benar-benar menggenggam peluang yang sebetulnya kita mahukan.

Lalu dalam tempoh itu, selain memujuk diri sendiri dan berdoa; bukankah kita perlu banyak pulangkan setiap urusan kepada Tuhan?

Win some, lose some!

Thursday, March 13, 2014

130311-130314

Baru sekejap. Baru tiga tahun. 

Dalam saya dan suami saling bertanya apa hadiah yang diinginkan untuk ulangtahun kali ini, rupa-rupanya Allah Yang Maha Pemberi lebih memahami. Pemberiannya melebihi apa yang kami fikirkan tentang keperluan dan keinginan. Subhanallah, walhamdulillah, pujian untuk-Nya yang Maha Mengetahui. Kami sama-sama syukuri 'hadiah' ini.

Moga Allah terus rahmati dan terus kuatkan kasih sayang selari kekuatan iman dan amalan.

Dan untuk Tuan Suami, teman yang selalu ada; moga Allah terus izinkan kurniaan kasih sayang ini berpanjangan hingga akhir usia kita. Moga Allah menjagamu, memberkatimu. 


Kalau tuan pergi ke ladang, 
     Ambil saya sebatang buluh;  
Tuan umpama pohon rendang, 
     Hujan panas tumpang berteduh.