Pages

Monday, June 16, 2014

NASI DAGANG KELANTAN - HIKMAH & IBRAH PENYEDIAAN MAKANAN

Kadang-kala hari minggu terasa istimewa buat kami (saya dan suami). Bukan hanya kerana kami punya masa untuk diluangkan bersama anak, tetapi juga kerana kami dapat 'meraikan' makan tengah hari kami dengan cara atau hidangan yang lebih istimewa (walaupun sederhana) berbanding hidangan ringkas pada hari bekerja.

Dua minggu lalu, saya dibantu suami dalam menyediakan Nasi Dagang Kelantan untuk hidangan makan tengah hari kami. Berbeza dengan Nasi Dagang Terengganu yang menggunakan beras pulut, Nasi Dagang Kelantan menggunakan beras khusus yang disebut 'beras lembut'. Selain itu, Nasi Dagang Kelantan juga dilengkapkan dengan sambal kelapa khusus.

Bagi Encik Suami, Nasi Dagang Kelantan tidak lengkap kecuali dipadankan dengan gulai udang. Manakala bagi saya, tidak sempurna hidangan Nasi Dagang Kelantan tanpa disekalikan dengan gulai ikan tongkol dan gulai ayam; sebagaimana yang selalu emak saya sediakan. Untuk meraikan selera En. Suami dan keinginan sendiri, lalu; saya putuskan untuk menyediakan gulai udang, gulai ikan tongkol dan gulai ayam untuk hidangan Nasi Dagang Kelantan kali ini. Juga, saya lengkapkan dengan telur rebus yang seringnya jadi antara lauk pelengkap Nasi Dagang Kelantan.
"Dalam sabar itulah berkat."

Bukan hanya sebiji kelapa yang perlu diperah santannya untuk menyediakan tiga jenis gulai tersebut, lebih-lebih lagi dalam keadaan kesihatan saya yang sedikit kurang memuaskan.  Beras lembut pula perlu direndam semalaman sebelum sedia untuk dikukus, diangkat dan dikeluarkan daripada periuk pengukus, digaul dengan santan dan bahan-bahan lain sebelum dikukus sekali lagi. Ikan tongkol perlu direbus dahulu dengan garam dan asam keping sebelum dimasukkan dalam gulai. Manakala sambal kelapa pula; kelapa perlu disangai terlebih dahulu sehingga perang kecoklatan sebelum digaul dengan ikan rebus yang ditumbuk beserta bawang merah, manisan dan bahan perasa yang lain.

Pun begitu, Alhamdulillah; kerja jadi mudah dengan bantuan suami walaupun bahan penyediaannya mungkin sedikit renyah. Hingga saya katakan pada suami; "Rupa-rupanya, bukan senang dan memang renyah kerja penyediaan makanan tradisi orang lama ya." 

Ya, saya cuba membayangkan bagaimana kerja masak-memasak para nenek dan ibu dahulu yang tidak dilengkapi dengan segala kemudahan elektrik, air dan gas memasak sebagaimana saya hari ini.
Lalu, duga suami; "Kerja rumit masak-memasak makanan tradisi ini sebenarnya mengajar kita sesuatu. Tahu apa pengajarannya?"

"Mengajar kita untuk sabar?" Saya jawab, dan saya juga bertanya.
Suami mengangguk, lalu katanya lagi; "Para ibu dan nenek dahulu menyediakan sendiri makanan di dapur. Mereka tidak membelinya atau makan di luar. Apabila mereka memasak sendiri setiap hari, maka mereka sebenarnya melatih diri untuk bersabar setiap hari. Lama-kelamaan, sifat sabar tertanam dengan sendiri. Cuba lihat, bagaimana rumah tangga orang dahulu dapat bertahan. Itulah berkat sabar yang mereka ada, tidak cepat melatah dengan sikap pasangan dan tidak mengalah dengan cabaran mendidik anak atau dugaan hidup. Dalam sabar itulah berkat."

Aduhai, saya telan liur. Indahnya hikmah penyediaan makanan tradisi.

Sambung suami lagi; "Kita sekarang terdidik dan terbiasa dengan perkara mudah, makanan segera yang senang diperolehi, makanan di kedai yang cepat dipesan dan dibeli. Itu semua langsung tidak mendidik kita untuk bersabar, apatah lagi untuk menjadikan sifat sabar itu sebati dalam diri. Sudahnya, apa akan jadi pada rumah tangga yang didiami dan dihidupkan oleh pasangan yang tidak biasa bersabar?"

Masya-Allah, besar maknanya ibrah penyediaan makanan tradisi yang saya perolehi hari itu. Mudah-mudahan, apa yang kami makan itu bukan hanya rezeki yang menambah rasa kasih sayang sesama kami, bahkan juga menambahkan sifat sabar (dan sifat baik yang lain) dalam diri kami. Mudahan.




No comments:

Post a Comment